(Prakata: Esei ini diambil dari blog Red1 dan peristiwa benar yang berlaku pada sekitar tahun 1979-80 di Petaling Jaya. Tapi sayang, bangunan asal IDP telah diroboh pada 1990an dan digantikan kondo mewah, tercegat dengan PPUM/Hospital Universiti. Wen Bao Xin adalah nama mandarin beliau)
Semasa di Institut Dakwah Perkim (IDP) pada 1980, saya dapat berkenalan dengan Abuzuhri Shin yang baru sahaja tamat IDP itu tetapi sering mengunjungi saya dan berkongsi hasil bacaannya yang agak tinggi-tinggi. Beliau adalah kelulusan Universiti 1st kelas dalam ekonomi (jika tak silap saya) dari Bentong, Pahang dan duduk menumpang pula di rumah Kak Azizah Ibrahim di belakang IDP masa itu.
Beliau rajin menyalin dari sumber bacaan berfalsafah tasauf maupun orientalis serta tokoh masyur Islam yang lain yang beliau boleh pinjam dari perpustakaan Intan kerajaan yang tidak biasa didapati di perpustakaan lain maupun kedai buku. Beliau sering menziarah tokoh-tokoh setempat waktu itu untuk bertukar pendapat dan dengan mengikutinya saya dapat juga manfaat perjalanan ilmiah buat diri saya. Menerusinya saya lebih berkenalan dengan Fadhullah Wilmont, Ustaz Nasuha dari Jeram, dan Koyakutty, editor Readings In Islam yang mendedahkan saya kepada terjemahan hasil kerja Kalim Sidiqui dari UK, Syed Qutb dari Mesir dan The Darqawi Journal dari Norwich.
Saya mula membaca dengan lebih mendalam tentang Shaykh Abdal Qadir As-Sufi, seorang pemeluk Islam dari Scotland dan buku-bukunya seperti Jihad, The Ground Plan yang amat tinggi kaedah pengunaan bahasa Inggerisnya.
Sahabat saya itu amat berminat dengan material tasauf yang saya dapati ada persamaan dengan prinsip Tao dan Zen. Saya juga turut bersamanya ke majlis zikir tariqa Ahmadiah yang ada masa itu di Negeri Sembilan.
Oleh kerana terpengaruh secara mendalam dalam satu ilmu baru yang ada persamaan dengan fahaman yang saya dukung sebelum ini, maka saya banyak mengambil ide-ide dari Shaykh Abdal Qadir dan serapkan dalam perbincangan saya dengan rakan-rakan.
Satu pagi, giliran saya untuk memberikan ceramah kuliah selepas solat subuh dan saya pilih konsep bahawa 'ulama kini adalah musuh Islam' dari buku Jihad - The Ground Plan. Ustaz 'Wan' yang bersama mendengar ceramah saya menegur saya selepas itu dari mana saya dapat bahan tersebut dan apakah saya yakin dengannya. Saya tentu sekali jawab 'ya'.
Selepas itu semasa kelas berjalan saya dipanggil oleh Tan Sri Abdul Jalil Hassan (bekas Dekan Fakulti Islam UKM) untuk masuk pejabatnya. Beliau bertanya saya apa yang saya faham tentang tasauf dan tariqa. Saya pun menjawab sepertimana saya terbaca bahawa "Tariqa itu adalah adab". Beliau pun ajak saya cuba pandang rak buku-buku bahasa Arab yang ada belakangnya, yang penuh dari kiri sehingga kanan, atas sehingga bawah dengan buku-buku dalam bahasa Arab.
"Ah, baca semua ini dulu sebelum nak cakap tentang Tasauf!", ujarnya. "Saya ada ijazah lanjutan dalam Tasauf" (Yakni mengenai Imam Ghazali).
Saya pun termenung tetapi tetap degil bahawa dia adalah dia dan saya adalah saya. Saya sudah mengenal apa itu 'tasauf' sebelum saya masuk Islam lagi. Maka saya angguk je la kerana tidak mahu menimbulkan kontroversi dengannya.
Saya tetap mencintai ilmu dari pelbagai sumbe dan tidak kira mazhab mahupun ideologi. Lagi berbeza lagi saya curious dan ingin go to the bottom of it. Tak kira mengenai ideologi Shia, anti-hadits, bahai, atau political thought seperti Islamic State, Socialism, Marxism, Democracy, Monarchy, Feudalism, Pragmatism dan macam-macam lagi ism yang duk ada.
Tidak jarang juga saya mengadakan debat di kedai kopi maupun kat serambi masjid atau tepi katil dengan pelbagai pihak sehingga jauh malam pun ada. Cuma saya tidak berapa suka jika pihak lain itu cepat emosi atau hilang kawalan dirinya lalu marah-marah demi mempertahankan hujahnya.
No comments:
Post a Comment