Tuesday, March 3, 2009

Ingin Menjadi Burung Hud-Hud ?

Karya kedua ini dihidangkan untuk pembaca budiman. Takut nanti hilang terus entah kemana. Insya'Allah, akan disambung dengan balasan surat pembaca misteri dari pahang. Dia komen, hanya orang sufi yang tahu bahasa rohani dan alam haiwan. Jangan guna intelek sangat. Setuju juga tapi dia tak beri alamat.

------------------------

The original article - dated July 1998 (Muslimah Magazine, Malaysia)

Terbang Bersama Hud-hud –

Apakah relevannya kisah Burung Hud hud dengan kehidupan manusia yang semakin kalut dengan krisis ekonomi, budaya sekular dan konflik politik agama serta gersangnya pengisian rohaniah sejati? Jika kita rajin dan serius, kita boleh menggali seribu makna dari kisah-kisah Hud-hud dalam al-Quran surah Al-Namli ayat 20. Tuhan Maha Bijaksana menggunakan perlambangan dan bicara seekor burung untuk mengajar manusia beberapa hikmah penting.

Hud-hud adalah simbol pencari kebenaran tak lekang di zaman. Dia pengikut setia, pembawa berita menakjubkan dan ketua masyarakat haiwan dari jenisnya. Hud-hud utusan kepercayaan Nabi Sulaiman alaihi salam. Dia mengikut perintah tet
api tidak buta. Dia tidak hadir perhimpunan ada alasan tersendiri. Hud-hud dipuji di dalam al-Quran. Dia pengikut beriman yang memiliki fikiran terbuka, cerdik dan innovatif. Dari kisah istimewa melencungnya penerbangan Hud-hud, kita dipaparkan dengan kedudukan dan kuasa Nabi Sulaiman dan Ratu Balqis. Dua pemimpin bangsa dan negara yang bertembung kekuatan dan identitinya sendiri. Apakah mereka akan berperang atau berdamai?

Para sufi dan ariffin membuat tafsiran bahawa setiap insan dalam perjalanan menuju Tuhannya telah dibekali dengan syarat/cermin Hud-hud. Semua manusia memiliki Hud-hud yang berkicau dengan berita berita penting dunia, yang terkadang menggembirakan dan kadang menyedihkan. Berita-berita kemajuan teknologi, kemewahan, kenikmatan sensori dan keuntungan material, kebebasan beragama dan demokrasi idaman. Berita-berita zalim, dominasi, putarbelit kuasa elit, krisis wang dan perang sana sini, manusia hanyut tanpa iman dan melawan perintah Tuhan.

Dengan kata lain, setiap hidup insan ibarat perjalanan berbahaya dan juga sangat berharga. Setiap kita pasti ada Sulaiman dan Balqisnya, ada penasihat-penasihat di keliling istana kuasa. Siapa patut tunduk pada siapa? Sulaiman adalah akal memimpin dan Balqis adalah nafsu dunia yang mengagungkan matahari material. Sementara itu, Hud-hud adalah jambatan, peneroka dan bekal Ilahi berupa ilham, intuisi, fitrah, kabar, informasi dan petunjuk dari Allah.

Setiap makhluk alam ada perlembagaannya untuk mengisyaratkan sesuatu yang tinggi. Insan dengan akalnya, pohon nyiur dengan lambaiannya, sungai dengan arus airnya, laut dengan gelombangnya, karang dengan ketegarannya, bumi dengan kitarannya, bintang dengan kerlipan cahayanya, burung dengan kicau dan penerbangan bebasnya. Betapa sayap sayap rohani mereka dapat menghantarkan mereka kepada Maharaja Simurgh. Jika Ibnu Sina telah menulis darihal perubatan penyakit zahir dan spiritual, manakala Imam Ghazali darihal peritnya ujian kembara seorang salik dalam Munqiz Minad Dhalal, maka Fariruddin Attar menuliskan Mantiqul At-Thairu bagi mengisahkan keinginan insan kembali ke asal usul syurgawinya melalui penerbangan burung burung metaforis ke arah Simurgh dengan citarasa mistik dan makrifah. Attar bercerita laksana seorang furu hakim seperti Luqman mengajak anaknya menuju Tuhan dengan mengasah dan menggunakan al-Hikmah.
'Wa'man yu'tal hikmata, faqad utiya khairan kathiran.'


Istilah bahsa burung (Mantiqul Thairi) yang dijadikannya judul kitab oleh Attar ada banyak rahsianya. Ianya satu warisan para Nabi yang dapat menguraikan bahasa batin burung-burung dalam percaturan, konflik dan perdebatan mereka uyntuk terbang menuju Tempat Misteri. Simurgh bererti tiga puluh dalam bahasa Parsi yakni 30 sifat/jenis manusia yang ada potensi melakukan perjalanan khas, mencapai pemberian agung Tuhan.Kesemuanya tewas, gagag atau enggan mara terus kecuali 30 ekor burung yang sampai ke Simurgh.

Adakah kita tergolong jenis pencari yang dimaksudkan? Cari dan bacalah buku Attar itu jika anda ingin terbang bersama Hud hud. Jangan dengar lagu M Nasir sahaja. Seronok tapi hanya sebentar. Akhir sekali saya mengaku mendapat ilham daninspirasi menuiskan artikel Burung Hud hud ini dari catatan Iftitah Sayyid Musa al-Kazim dalam Jurnal bernama Al-Hikmah terbitan MIZAN, Indonesia Bil 15.1995. Perlukah kita terbang ke Jakarta untuk mencari hikmah yang tiada terdapat di Malaysia? Pembaca boleh menjawabnyua sendiri. Kesimpulannya, setiap peluang, peristiwa, buku atau renungan yang boleh membawa insan kepada Jalan Pulang menuju Penciptanya adalah ibarat burung Hud hud.

Dia ibarat mursyid petunjuk jalan dan impian yang mesti diteruskan seperti mana penulis fizik moden Gary Zukav mengajak pembaca menari bersama The Dancing Wu Li Masters bagi menemukan hikmah rohani timur. Jika Dr Sachiko Murata berupaya mendalami bahasa Arab dan fahaman sufi lantas menghasilkan karya masyhurnya The Tao of Islam yang membuat perbandingan dengan prinsip Yin Yang dalam falsafah klasik China, maka selaku Muslim, kita lebih berhak menguasai ilmu ilmu , bahsa dan hikmah yang berkaitan.

Oleh itu setiap Muslim atau pencari beraniu yang mahu terbang bersama burung Hud hud sayugianya memahami bahasa wahyu, bahsa akal dan bahasa makrifah yang terbentang di bumi luas nan indah. Sebagai satu amaran, jangan kita biarkan angka angka matawang , indeks bursa saham dan ekonomi, formula teori sains dan teknology menewaskan huruf huruf bahasa ajaib kurnia Illahi untuk dijadikan peta rujukan semua insan bagi merealisasikan maknawi diri masing masing.

No comments:

Post a Comment