Saturday, January 10, 2009

Imam As-Sya'rani dan Kejujuran Meniti Tariqa


(Hamba post semula karya ini dikira amat bernas dan syukran kepada sahabat musafir
albazrah serta sejadah usang berkongsi angin baraka timur)


Imam As-Sha'rani r.a. memang terkenal dalam dunia sufi, khususnya di Mesir. Sheikhuna Yusuf sering menceritakan tentang Imam As-Sha'rani r.a., sambil katanya, anda kenal Imam As-Sha'rani dari kebesaran namanya di alam sufi. Tetapi, kenalilah bagaimana beliau bermula, supaya kita dapat mengambil iktibar dari kegigihan beliau dalam permulaan tariq ila Allah.

Sheikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani seterusnya menceritakan bagaimana permulaan Sidi As-Sha'rani dalam perjalanan sufi:

"Beliau pada mulanya merupakan seorang ulama' yang amat terkenal dalam keilmuannya. Namanya tersohor di kalangan para ulama' khususnya dalam ilmu rusum (ilmu-ilmu zahir seperti fiqh dan sebagainya). Beliau juga telah mengarang beratus-ratus kitab, dengan tulisan tangannya.

"Suatu ketika, beliau terdengar tentang seorang hamba Allah bernama Ali Al-Khawwas. Katanya, Ali Al-Khawwas ini mengetahui jenis ilmu yang tidak diketahui olehnya (Imam As-Sha'rani). Lalu, beliau mengorak langkah untuk mencari Ali Al-Khawwas dalam usaha untuk mengenali tentang ilmu tersebut.

"Dengan izin Allah, maka beliau bertemu dengan Ali Al-Khawwas r.a., lantas meminta supaya Ali Al-Khawwas mengajarkan kepadanya ilmu kaum sufi. Ali Al-Khawwas mengatakan: "Duhai anak, kamu pada ketika ini tidak layak untuk mempelajari ilmu kami, kerana kamu telahun terhijab dengan ilmu yang kamu miliki. Ilmu kami membawa kepada mengenal Allah s.w.t., sedangkan ilmu yang kamu miliki, menghalang kamu dari mengenal Allah s.w.t."

Kata Imam As-Sha'rani r.a.: "Duhai tuan, sudikah kiranya tuan membantuku untuk menghilangkan hijab tersebut?"

Sheikh Ali Al-Khawwas menjawab: "Kalau anak betul-betul jujur inginkan ilmu ini, maka hancurkan hijabmu dengan menjual semua kitab-kitab yang kamu miliki. Setelah itu, duit hasil jualan tersebut perlu diberi kepada faqir miskin."

Imam As-Sha'rani terkilan dengan permintaan Sheikh Ali Al-Khawwas, dan terbayang kitab-kitab hasil penat-lelahnya selama berpuluh-puluh tahun, perlu dijual serta-merta. Namun, dengan penuh kejujuran dan keikhlasan untuk menempuh jalan sufi, dalam rangka untuk mengenal Allah s.w.t., akhirnya beliau sanggup menjualkan kitab-kitab milik beliau dan seterusnya memberi sedekah kepada faqir miskin dengan duit yang didapatinya dari jualan tersebut.

Berkat kejujuran dan keikhlasan beliau, yang sanggup mengorbankan hasil usaha beliau dalam ilmu-ilmu zahir, maka Allah s.w.t., menggantikannya dengan limpahan Makrifat dan Futuhat sehingga beliau mampu mengarang lebih banyak karya dalam bidang ilmu-ilmu batin, di bawah didikan dan tarbiah dari wali Allah, Sheikh Ali Al-Khawwas r.a..

Inilah sikap kejujuran seorang murid yang sanggup berkorban dalam menghancurkan punca-punca yang menjadi sebab, terhijabnya hatinya dengan Allah s.w.t..

Semoga Allah s.w.t. membantu kita dalam berlaku jujur di dalam perjalanan menuju-Nya..Amin...

Nukilan Al fadhil Ustaz Mukhlis @ Al Faqir101
_________________
http://aidaqelantani.multiply.com

No comments:

Post a Comment