Saturday, January 10, 2009

Sultan Alauddin Belajar Tasawuf



(dengan ihsan sumbangan FAISAL TEHRANI)

MENURUT cerita orang, sejarah seorang guru tasawuf dari negeri China baru tiba di Melaka, menawarkan ilmunya untuk mengajar ilmu kalam dan ilmu tasawuf.

Nuh Ha Mim, guru agama berbangsa Cina itu menetap di Hujung Medini. Sekarang ini di Melaka pekan ini dinamakan Ujong Tanah. Tidak jelas bagaimana tok guru Nuh Ha Mim ini boleh datang dari negeri China dan menginap di Melaka. Apa yang jelas, tok guru itu tidak datang bersama rombongan Hang Li Poh.

Menurut orang setempat tok guru tersebut berhijrah dari China bersama anak perempuannya setelah dakwahnya diganggu pemerintah dan penjahat. Nuh Ha Mim telah berhijrah ke Maguindanao dan mengislamkan ramai masyarakat di sana. Sekarang ini Maguindanao adalah wilayah di dalam negara Filipina.

Ketika itu Kerajaan Islam Maguindanao belum ada lagi. Tok guru tersebut juga banyak mengislamkan orang di Manila. Memang waktu itu Kesultanan Islam Manila belum kukuh. Tetapi ramai juga yang berjaya diislamkan oleh Nuh Ha Mim. Kemudiannya nanti kerajaan Islam di Manila ini jatuh di tangan penjajah Sepanyol dalam tahun 1571 dan ramai penduduk Manila yang sebenarnya Melayu, murtad menjadi penganut Kristian. Setelah beberapa lama di Sulu, Nuh Ha Mim berpindah ke Pulo Upih.

Sekarang ini Pulo Upih ialah Pulau Upih di perairan negeri Melaka yang kurang dipedulikan orang. Madrasah di Pulo Upih memang tersohor waktu itu dalam menawarkan pengajian tasawuf. Nu Ha Mim menjadi salah seorang guru di sana. Antara muridnya termasuklah Sunan Kalijaga dan Syeikh Sutabris. Apabila muridnya makin ramai, Nuh Ha Mim berpindah ke tanah besar iaitu di Hujung Medini dan membuka pengajian di rumahnya.

Tatkala itu Sultan Alauddin belum bergelar sultan lagi. Baginda hanya dikenali sebagai Raja Husain. Baginda yang memang sukakan ilmu amat berminat untuk berguru dengan Nuh Ha Mim tetapi tidaklah semudah itu.

Pada mulanya memang sedikit sukar Raja Husain meyakinkan Nuh Ha Mim bahawa baginda memang benar-benar berniat dan mahu belajar tasawuf. Berulang-alik Raja Husain ke Hujung Medini. Berulang kali Raja Husain meyakinkan Nuh Ha Mim bahawa baginda tidak mahu menjawat takhta menjadi Sultan Melaka. Baginda tahu ada orang alim yang memang kurang gemar bergaul dengan pembesar-pembesar dan keturunan raja-raja.

“Tak hendak kita menjadi sultan. Apatah lagi kekanda Raja Ahmad lebih layak menjadi pemerintah mengikut turutan. Tidak ada sebab tok guru mahu menolak kita dari menjadi murid. Dinding emas perak lidah kita, bahawa tak terlintas di hati mahu menjadi raja. Kerja menjadi raja itu banyak tanggungjawabnya. Tak terpikul kita.

“Kalau ada seekor lembu patah kaki kerana jalan di Melaka ini rosak berlubang, nanti akan ditanya Allah di hari akhirat mengapa sultan tidak memperbaiki jalan. Kita bukan jenis yang mampu memikul kerja sebesar itu. Biarlah kita mengaji agama saja daripada tok guru.”

Tok Guru Nuh Ha Mim masih belum mahu menerima dengan mudah Raja Husain menjadi muridnya. Tok guru itu meletakkan syarat pula.

“Datangkan kepada kita tujuh jenis benda yang bukan ada harga melainkan kita meletakkan harga padanya, ia bermula ejanya dengan huruf sin.”

Berpeluh Raja Husain, “Tok guru berilah kita petanda satu demi satu agar dapat dipuaskan hati seorang guru.”

“Benda pertama bermula ejanya dari huruf sin itu duduknya di bawah punggung kita.”

Bergegaslah Raja Husain ke Pasar Melaka mendapatkan safra untuk Nuh Ha Mim.

“Inilah kain alas, duduknya di bawah punggung tok guru. Bukanlah ia benda berharga jika tidak dihargai begitu.”

“Datangkan kita sebuah rumah kecil, tidak berpenghuni lagi, tidak ada kekayaan lagi di rumah itu.”

..sambung Bhg.2

1 comment:

  1. sambung Bhg.2 :

    Penuh teka-teki. Tetapi Raja Husain remaja yang pintar. Fikirannya berjalan kerana banyak menelaah kitab. Bukan seperti kekandanya Raja Ahmad yang sepanjang siang berhibur dengan irama-irama, tarimenari dan bersuka gembira daripada sekian dayang. Bergegaslah Raja Husain ke hutan di sekitar Paya Rumput, mencari pohon yang di puncaknya atau pada dahannya tersangkut sarang lebah yang sudah ditinggalkan.

    “Inilah sambang. Sarang lebah sudah kosong tiada berisi kerana ditinggalkan penghuninya. Memang ia tiada kekayaan lagi kerana madunya sudah habis dipungut orang. Tiadalah ia punya erti apa-apa lagi.”

    Nuh Ha Mim tersenyum, masih menduga lagi, “Benda ketiga bermula ejanya dari huruf sin itu hanyalah mengisi air dari hujung jari kita, tidak punya erti apa-apa lagi.”

    Raja Husain berlari pulang ke istana, masuk ke dapur dan mencemaskan sekian dayang dan tukang masak kerana raja muda menggeledah dapur mencari sangku.

    Berlarian

    “Inilah tok guru, sangku, bekas basuh tangan, menadah air daripada jari-jemari tok guru yang selesai menjamah hidangan.”

    “Benda seterusnya ialah tidak cukup ia menjadi satu, tidak laku ia di Pasar Melaka.” Nuh Ha Mim terus menguji kesabaran bakal anak muridnya.

    Tanpa berlengah Raja Husain berlarian ke Pasar Melaka dan kembali semula mempersembahkan, “Inilah kita bawakan sekepeng. Tak cukup ia menjadi satu, tak laku ia untuk digunakan membeli apa-apa barangan pun di Pasar Melaka hatta kayu gaharu atau kapur barus sekalipun.”

    “Masih belum sempurna permintaan kita. Ayuh carikan segera sesuatu yang jika tidak ada habis rosak kepala Raja Ahmad, jika ada berertilah sedikit kepalanya.”

    Di situlah Raja Husain tergendala. Lama juga baginda berfikir apakah sesuatu yang jika tidak ada, habis rosak kepala Raja Ahmad. Benda itu harus bermula dari huruf sin. Pening kepala juga Raja Husain memikirkannya. Hakikat bahawa benda itu melibatkan Raja Ahmad menyebabkan Raja Husain bertambah gusar. Hampir-hampir Raja Husain putus asa.

    Raja Husain pun bertandang ke rumah Nuh Ha Mim merayu supaya diberi petunjuk yang lain,

    Nuh Ha Mim senyum sahaja. “Selangkas betik berbuah masakan tak terduga anakanda apakah ia yang penuh di kepala Raja Ahmad?”

    Dengan petanda yang kecil itulah Raja Husain kembali ke istana dan bertanyakan inang yang menjaga Raja Ahmad. Setelah mendapat jawapan, bersorak gembira Raja Husain dan diucap-ucapkan alhamdulillah tidak putus-putus. Raja Husain berlari ke Hujung Medini mempersembahkan selisik.

    “Inilah ia, penuh kutu di kepala Raja Ahmad, jika tiada selisik maka rosaklah kepala baginda raja mahkota.”

    Nuh Ha Mim tersenyum, masih ada dugaan yang belum dipenuhi lagi. “Dapatkan kita benda yang ada lok pun tidak berguna.”

    Raja Husain yang bijaksana itu segera mendapatkan sepukal. Dimintanya daripada seorang hulubalang tua.

    “Tuk guru inilah sepukal, keris yang sudah haus matanya, lurus keloknya dan tumpul pula.”

    “Baiklah, inilah yang terakhir. Dapatkan benda yang tiada harga pada Sultan Mansur Syah. Sudah kelabu, jika di akhirat lebih celaka jika tak dapat melepasinya.”

    Sekali lagi Raja Husain terperangkap di situ. Lama baginda menilik memerhatikan baginda sultan hingga Sultan Mansur Syah ayahandanya, pun naik kehairanan.

    “Apa gerangan anakanda berkelakuan aneh sebegini?”

    “Tidak ada apa-apa. Cuma anakanda memikirkan apakah yang ada pada ayahanda akan terbelah tujuh di akhirat nanti.”

    Sultan Mansur Syah tersenyum. “Pada hemat ayahanda seperti yang ayahanda maklumi daripada guru ayahanda Kadhi Yusuf, kalau berbuat amal yang baik maka rambut sehalus dibelah tujuh pun dapat kita seberangi.”

    Rambut

    Mata Raja Husain bercahaya.

    “Ampun tuanku ayahanda, jika tiada keberatan, anakanda mengharapkan sehelai rambut tuanku yang telah beruban putih kelabu itu.”

    “Untuk apa?”

    “Dibuat kenang-kenangan.”

    Sultan Mansur Syah ketawa. “Aneh sungguh anakanda. Baiklah apa salahnya.” Baginda Sultan Mansur menanggalkan destarnya.“Mari, cabutlah uban ayahanda seberapa banyak pun yang anakanda mahu.”

    Raja Husain keriangan, tanpa berlengah lagi dimasukkan helai rambut itu ke dalam botol kecil dan dibawa pantas ke Hujung Medini.

    “Tuan guru, inilah surai baginda ayahanda Sultan Mansur Syah. Surainya putih beruban dan di akhirat kelak jika berbuat amalan baik walau dibelah tujuh sehalusnya pun akan dapat diseberangi titian sirat.”

    Nuh Ha Mim angguk. Akur. Menepuknepuk bahu Raja Husain. “Safra itu tempat alas duduk. Dunia ini begitulah tidak lebih besar dari alas duduk. Kita buat alas sekejap sahaja pada punggung kita. Dunia ini ibarat sambang, sarang lebah yang kosong. Madu kekayaannya untuk orang lain. Habis juga nanti. Yang tinggal dunia yang kosong, ternampak dari luar pada kulit sahaja, menampakkan bentuk seperti sebuah sarang yang punya semua tetapi rupa-rupanya sambang sahaja.

    “Sangku itu tempat kita menadah kotoran di tangan atau sisa makanan, itu sahajalah taraf dunia ini, tak lebih dari itu. Janganlah kita membesarkan sangku kerana ia hanyalah mangkuk menadah air basuhan tak punya apa-apa kelebihan. Sekepeng begitulah dunia ini, tidak ada erti apa-apa. Apa lakunya sekepeng di Pasar Melaka? Apa lakunya kekayaan sekepeng di sisi Tuhan?

    “Yang kita bawa menghadapnya, iman dan amal sahaja. Selisik, begitulah dunia, seumpama sikat untuk menanggalkan segala kutu yang melekat di kepala. Kebendaan yang dicari manusia dan kemasyhuran hanyalah kutu yang perlu kita tanggalkan, kita bersihkan dengan selisik. Pada sepukal sedarlah kita yang kehebatan manusia itu sementara. Tajam akan menjadi tumpul. Lok akan menjadi haus.

    “Tidak ada kehebatan dan keperkasaan melebihi kehebatan dan keperkasaan Tuhan. Surai, marilah anakanda kita bertakwa kerana itu sahaja yang akan menjaga kita pada hari kita harus menyeberang titian sehalus surai dibelah tujuh. Rasmilah anakanda menjadi murid kita hari ini.”

    Raja Husain angguk, mengerti, sebulat hati memahami. Bermulalah pelajaran tasawuf untuk seorang bakal sultan. Sultan Alauddin Riayat Syah, Sultan Melaka yang ketujuh.

    Begitulah kisahnya, seperti yang diperikan kemudian dalam Sejarah Melayu bagaimana Sultan Alauddin yang alim lagi berani itu membina peribadinya sejak anak-anak lagi.

    ReplyDelete